Moga Kalian Dewasa Dengan Iman II

bic.jpg

Kenangan bersama wartawan British Satelite News ketika rakaman dokumentari “Education of Muslims in Northern Ireland” untuk siaran CNN pada tahun 2001

1981…

“Hasrizal, cikgu minta maaf sebab walaupun kamu dapat nombor satu, tapi kamu tak boleh naik ke pentas ambil hadiah. Sebabnya, kamu masuk sekolah bukan betul-betul, cuma ikut emak kamu sahaja. Cikgu minta maaf ya.”, kata guru besar saya pada tahun 1981.

Ketika itu saya berumur enam tahun. Saya tidak ke tadika seperti rakan-rakan sebaya. Sebaliknya, saya mengikut emak ke sekolah sebab emak mengajar Darjah 1. Lebih menjimatkan dan anak dibesarkan di depan mata. Saya memang suka dengan kelas itu dan saya belajar bersungguh-sungguh. Hasilnya saya mendapat 100% bagi semua mata pelajaran semasa peperiksaan akhir tahun.

Tetapi kata-kata guru besar pagi itu amat mengguris hati saya. Tidakkah mungkin saya dihadiahkan sebatang pensel sebagai galakan? Semata-mata nama saya tidak berdaftar, saya diketepikan begitu sahaja. Tahun berikutnya, saya dipindahkan oleh emak ke sekolah lain untuk memulakan persekolahan rasmi di Darjah 1. Dialog guru besar itu masih segar di ingatan saya walaupun peristiwa itu telah berlaku lebih 25 tahun yang lalu…

2001…

Semasa saya menerima perlantikan tugas sebagai Imam, skop kerja saya hanyalah sehelai kertas putih! Saya diberikan sehelai kertas putih agar saya merangka sendiri skop kerja, dan akhirnya saya dipertanggungjawabkan dengan semua hal ehwal berkaitan dengan Islam dan kaum Muslimin di Belfast. Namun tugas yang menjadi nostalgia kepada diri saya ialah apabila saya dilantik sebagai Pengetua di Belfast Islamic School iaitu sebuah sekolah separuh masa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak umat Islam sekitar Belfast dan kawasan berhampiran. Saya mendapat kira-kira 70 orang pelajar yang berumur di antara 5 ke 16 tahun.

bis.jpg

Gambar kenangan semasa menyambut kedatangan rombongan pelajar sebuah Sekolah Katholik di Belfast ke sekolah kami. Mereka menggunakan Bahasa Gaelic di sekolah, mengagumi komuniti Muslim Belfast yang bertutur di dalam lebih daripada 20 bahasa


AGM MASJID…

Permulaan tugas saya tidaklah begitu cantik. Semasa Mesyuarat Agung Jawatankuasa Masjid, Belfast Islamic Centre hampir hendak runtuh disebabkan oleh pergaduhan lantaran rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang sekali pun saya tidak pernah melihat muka mereka bersolat di Masjid. Namun, saya hanya mendiamkan diri di atas sejadah, ketika Jamal yang memegang jawatan Presiden Masjid, mengawal keadaan.

Tiba-tiba seorang perempuan bangun dan membangkitkan persoalan sekolah. Pakaiannya cukup mengaibkan untuk berada di dewan Solat. Dengan rambut berjambul keluar, dia menuding jari ke arah saya. Katanya, dia tidak berpuas hati kerana jawatan Pengetua diserahkan kepada saya. Beliau mengamuk-ngamuk dan saya faham kenapa beliau bertindak demikian kerana beliau sudah memegang jawatan tersebut selama beberapa tahun, sebelum saya muncul sebagai Imam sepenuh masa pertama di dalam sejarah Belfast Islamic Centre yang telah pun berumur lebih 20 tahun. Masjid ini tidak pernah mempunyai Imam tetap.

Saya hanya tersenyum mendengar rungutan beliau. Saya dituduh memandai-mandai menukar silibus, tidak menghormati guru-guru lama dan cuba membolot segala-gala yang berkaitan dengan sekolah itu. Tiba-tiba dia menerpa ke depan sambil menghulurkan jari telunjuknya kepada saya. “The Imam is misleading!!!”, beliau memekik ke arah saya di hadapan lebih 200 hadirin di AGM tersebut.

Saya terkejut dan ramai jemaah masjid bangun untuk menolak wanita itu agar tidak menyerang saya. Akhirnya saya terpaksa bangun dan bersuara…

“Tuan-tuan dan puan-puan. Saya sedar saya masih baru di sini. Hari ini kita bergaduh tentang siapa yang berhak di dalam urusan pentadbiran sekolah. Mari saya kongsi bersama dengan anda semua cerita ini”, saya bersuara tenang, walaupun jantung saya berdegup kencang.

Brothers and sisters, semasa saya mengambil alih sekolah pada akhir tahun lepas, saya telah mengadakan evaluation test untuk menentukan pelajar yang mana patut masuk ke kelas mana. Hasil ujian tersebut, saya ingin memberitahu anda semua bahawa kira-kira 20 orang pelajar semasa ditanya who teach you about God, mereka menjawab Jesus! 4 orang pelajar, semasa diminta menterjemahkan Kalimah Syahadah ke Bahasa Inggeris, mereka menjawab There is No God but Allah and Abraham is the Messenger of Allah! Dan hampir 100% pelajar dari umur 5 hingga ke 16 tahun, tidak tahu jawapan kepada soalan siapa nama ayah Muhammad, the Prophet!”, saya menjelaskan dengan panjang lebar.

Seluruh masjid hening seketika dan ramai yang menggeleng-gelengkan kepala.

“Siapakah pelajar-pelajar ini? Adakah mereka anak saya? Tidak, anak saya masih merah di rumah. Tetapi mereka adalah anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengendalikan sekolah ini bukan kerana gilakan kuasa, tetapi atas kesedaran saya tentang tanggungjawab menyelamatkan generasi Muslim di Belfast. Kamu, sister, kamu sudah menjadi Pengetua sekolah selama bertahun-tahun. Apa yang kamu ajar? Inilah hasil keluaran sekolah yang pengetuanya adalah awak.

bmoutside1.JPG

Andai anda semua mahu bergaduh tentang Belfast Islamic School, silakan. Saya tiada masa kerana saya ada banyak tugas. Antaranya adalah menyelamatkan akidah anak-anak anda. Thank you!”, saya menutup bicara.

Masjid hening, dan Jamal memimpin mesyuarat ke agenda yang seterusnya.

Sememangnya mengendalikan Belfast Islamic School bukanlah suatu kerja yang mudah. Saya berhadapan dengan cabaran merangka silibus untuk pelajar-pelajar luar biasa ini. Maksud saya, mereka luar biasa kerana mereka datang dari pelbagai latar belakang. Ada yang ibu bapanya Syafie, Hanafi, Maliki, malah Syiah dari Lebanon dan Iraq. Syiah Iran memang tidak berkunjung langsung ke masjid dan saya fikir, mereka mungkin ada komuniti sendiri.

Bagaimanakah caranya untuk saya dan guru-guru di sekolah itu hendak mengajar Solat yang simple kepada pelajar-pelajar ini? Jika ditinggalkan bacaan Bismillah, ada pelajar yang hairan kerana Solat ayahnya ada Bismillah. Jika diajar selepas rukuk ada doa Qunut, ramai pula anak-anak Pakistan, Turki dan China yang terngaga. Mereka baru berumur 5 ke 16 tahun, mana mungkin boleh terlibat dalam diskusi berkaitan dengan Mazhab.

Ada sebahagian pelajar saya yang bapanya Muslim dan ibunya Kristian. Jika cikgu mengajar bahawa ajaran Kristian itu salah dan tempatnya adalah di neraka, maka pelajar akan kebingungan kerana ibu mereka yang Kristian itu lebih penyayang dan mulia pekerti berbanding dengan ayah mereka yang Muslim, dan hanya mengejar sekeping pasport British melalui perkahwinan rumit itu. Habis, bagaimana harus semua ini dihadapi? Saya berada di dalam keadaan yang amat tertekan.

Lebih menyedihkan saya, semasa kelas musim panas, saya telah membawa anak-anak murid saya melawat zoo Belfast. Ketika kami lalu di hadapan kandang gorila, salah seorang pelajar saya menjerit, “look! It”™s our grandfather!“

Lemah lutut saya mendengarnya. Hati saya berkata, “kalaulah tok wan hang ada di sini, mahu melayang satu pelempang”. Kisah ganjil itu tidak habis di situ. Semasa kami mendekati kawasan farm, anak-anak murid saya berebut-rebut menuju ke kandang anak babi kerana pada mereka si tonggek merah itu comel! Puas saya menyekat mereka daripada menyentuh anak-anak babi itu dan saya semakin pening kepala.

Akhirnya saya terjemahkan pening kepala saya ini kepada kajian saya untuk pengajian di peringkat sarjana di bidang pendidikan (kajian kurikulum) bersama The Open University of UK. Namun, kajian saya terkandas bersama Master yang tidak selesai kerana saya sekeluarga pulang ke Malaysia pada tahun 2004 sebelum dapat menamatkan pengajian.

ANAK MURIDKU SALMAN…

Akan tetapi, nostalgia paling unik bagi saya di Belfast Islamic School ialah semasa saya mengajar di kelas Level 4. Di dalam kelas itu ada seorang anak murid yang comel dan petah berkata-kata. Namun dia tidak boleh duduk diam dan sentiasa bercakap bergerak ke sana sini. Sekejap sekejap dia menjenguk ke tingkap. Sekejap lagi dia duduk di belakang papan putih. Ada masanya dia memeluk kaki saya sehingga akhirnya saya terpaksa memegang tangannya di sepanjang sesi pagi tu agar dia tidak mengganggu pelajar lain.

Selepas saya habis menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim, saya telah edarkan kertas latihan untuk pelajar menjawab soalan. Budak yang lincah tadi menulis namanya sebagai SALMAN.

Saya bertanya kepada Salman, “give me an example of an object that Prophet Abraham thought it was God“.

Beliau menjawab, “Moon!“™

Saya tersenyum berpuas hati. Rupa-rupanya ketika dia berjalan ke sana sini di dalam kelas, telinganya masih mendengar cerita saya.

“Tulislah jawapan kamu di atas kertas tu, Salman.”, saya menyuruh.

Salman terdiam dan hanya merenung kertas di hadapannya. Katanya, “sorry Amirsab, I can”™t spell the word!” “˜Amirsab”™ adalah panggilan anak-anak keturunan Pakistan dan Kashmir kepada saya di sekolah.

Habis riuh rendah satu kelas dibuatnya. Pelbagai ejekan yang dilemparkan oleh pelajar lain kepada Salman. Masakan tidak, umur Salman sudah 10 tahun dan dia tidak boleh mengeja MOON. “Just now, you wrote your name on the paper. I don”™t understand why you can”™t spell the simple word MOON!”, saya cuba menyiasat apa masalah sebenarnya.

No Amirsab. I didn’t write my name. I draw my name!”, Salman menjawab sambil membetulkan cermin matanya di atas hidung.

Saya terkejut dan tahulah saya bahawa Salman berkemungkinan mengidap sindrom Dyslexia, iaitu ketidakupayaan seseorang untuk membaca di tahap yang sepatutnya. Pesakit dyslexia akan melihat huruf d sebagai b, mereka keliru dengan huruf dan nombor dan lazimnya mempunyai tulisan tangan yang hodoh. Salman ada hampir semua tanda itu.

Ketika kelas riuh rendah mentertawakan Salman, saya membawa Salman keluar dari kelas dan meminta seorang guru lain menjaganya seketika. Saya masuk ke kelas dan cuba mententeramkan keadaan.

Guys, please listen to me. You are not supposed to call bad names to Salman. He is neither stupid nor a loser. He might be more brainy than you all but he has a problem called Dyslexia. It”™s a reading disability. I will show you what does that mean.“, saya menerangkan kepada kawan-kawan sekelas Salman sambil memanggil beliau masuk semula ke kelas.

Now Salman, look at my lips when I say MMMM-OOOO-OOOO-NNNN!”, saya membunyikan setiap huruf itu dengan memuncungkan bibir saya sambil diperhatikan oleh Salman. Entahlah sama ada kaedah ini betul, membantu atau tidak, tetapi Salman berjaya menulis M-O-O-N dengan baik.

Ok guys, give Salman your greatest applause!”, saya cuba mengajak murid-murid lain memberikan sokongan kepada Salman.

Selepas habis waktu persekolahan, saya bertemu dengan ayah Salman. Memang benar, Salman telah pun didiagnosiskan sebagai pesakit Dyslexia tetapi ayahnya enggan menulis hal ini di dalam borang pendaftaran sekolah kerana malu. Saya cuba menceritakan betapa Salman berjaya menulis MOON dengan betul selepas dibantu tetapi ayahnya memperlekehkan hal itu. Katanya, “what job can he get if at Salman”™s age, he can only spell MOON?“

Saya berasa amat sedih kerana selepas peristiwa itu, ayah Salman telah membatalkan persekolahannya di sekolah saya. Saya doakan agar ayahnya berubah fikiran kerana di UK keadaannya tidak seperti di Malaysia. Saya masih ingat, ada kawan-kawan yang sebaya dengan saya semasa di sekolah rendah, tidak boleh membaca walaupun umur sudah mencecah 12 tahun. Mereka dimasukkan ke kelas 6 ERAT, iaitu kelas E yang menjadi tong sampah tempat sekolah menghumban pelajar-pelajar yang dilabel sebagai bodoh, dungu, dan sebagainya. Apakah mungkin mereka mengidap Dyslexia? Tiada siapa yang peduli dan saya sedih memikirkannya.

Jika di Britain, pelajar yang didiagnoskan sebagai pesakit Dyslexia, diberikan masa lebih ketika menjawab soalan peperiksaan di universiti. Malah ada yang boleh lulus dengan baik sebagai doktor perubatan. Pelajar ini tidak pernah dianggap bodoh dengan huruf L terpahat di dahi mereka. Mereka dibantu dan dididik secara istimewa hingga boleh keluar dari belenggu yang amat malang itu.

Tetapi saya tidak pasti apakah di Malaysia, semua itu ada disediakan? Saya masih teringat betapa guru besar saya di tahun 1981 itu tidak langsung mempedulikan soal psikologi kanak-kanak. Namun saya faham, mungkin di zaman itu, keadaannya berbeza. Mudah-mudahan hari ini tidak begitu.

Tetapi di Malaysia, saya pernah bertemu dengan pelajar yang saya rasa dia menghadapi masalah Dyslexia tetapi ibu bapa enggan membawanya berjumpa dengan doktor pakar, hanya kerana malu mempunyai seorang anak yang bodoh dan dungu! Malang sekali…

interior01.jpg

KISAH SYAZAD DAN SYABAZ…

Semasa weekdays, saya juga mengajar tiga orang pelajar di antara waktu Asar dengan Maghrib. Dua beradik bernama Syazad dan Syabaz. Manakala seorang lagi ialah Pisol, anak Kashmir yang menggusarkan ayahnya kerana bercita-cita menjadi suicide bomber ketika ditanya oleh cikgu sekolah! Tetapi Pisol selalu tidak hadir ke sekolah dan tumpuan saya banyak kepada Syazad dan Syabaz. Keduanya berumur 10 dan 12 tahun.

Mengajar Syazad dan Syabaz memang memenatkan. Ketika seorang mengambil giliran, seorang lagi akan berlari-lari di dewan solat Masjid. Di peringkat awal, saya selalu naik darah apabila murid-murid saya berlari di dewan Solat. Tetapi saya kemudiannya sedar yang semua pelajar saya tinggal di rumah yang amat typical ala Belfast iaitu sempit dan memanjang ke belakang dan atas. Semua ruang adalah bilik dan berpintu dan ini penting untuk menjaga tahap suhu bilik agar tidak menjadi sejuk. Apabila mereka datang ke masjid, inilah peluang mereka mendapat ruang yang luas untuk berlari-lari ke sana sini dengan bebas.

Syabaz menghadapi masalah Attention Deficit Hyperactive Disorder atau yang lebih dikenali sebagai ADHD. Dia perlu makan sejenis tablet setiap kali tiba di kelas supaya boleh bertenang dan berhenti daripada memanjat belakang saya, berlari keliling meja dan kadang-kadang menggelungsur di tangga masjid.

Sorry Imam, I have a problem with my brain. I am hyperacive and you can’t do anything about it!”, kata Syabaz. Wah, pandai betul dia memberikan alasan apabila saya mengugut untuk mencampakkan dia dari tingkap atas masjid! Saya hanya bergurau sahaja. Telinga Syabaz saya tarik sambil mengajak dia duduk semula untuk meneruskan bacaan Surah al-Humazah yang sedang dihafalnya. Walaupun setiap hari tekak saya sakit mengajar budak dua orang ini, namun secara tidak sedar saya sudah menganggap mereka seperti anak saya sendiri. Ada masanya saya bawa anakanda Saif ke masjid dan membiarkan dia di atas riba sambil saya mengajar Syazad dan Syabaz.

Tapi minggu itu, saya ada banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Saya meminta jasa baik Udin supaya menggantikan tempat saya mengajar Syazad dan Syabaz. Udin adalah pelajar PhD di The Queen’s.

Hari pertama, nampaknya semua berjalan baik. Tetapi masuk hari kedua, Udin sudah panas telinga dan perut melayan karenah dua beradik ini. Entah macam mana, dalam keadaan Syabaz sedang aktif melayan panjat turun di susunan bangku masjid, tiba-tiba Udin datang dan memarahinya. Syabaz secara spontan telah meludah kepada Udin dan balasannya Udin menampar muka Syabaz. Kelas terhenti di situ dan saya tiba sejurus sebelum solat Maghrib.

Udin menceritakan kepada saya apa yang berlaku petang itu. Saya memanggil Syabaz dan bertanya kenapa dia meludah ke muka cikgu Qurannya? Syabaz hanya mendiamkan diri dan merenung lantai sambil menguis-nguis kaki Syazad yang berdiri di sebelah.

I have to tell your mom about what happened just now. You dissappointed me!”, saya mengeluh sambil memegang bahu Syabaz yang sudah mula bergenang air mata.

Selepas solat Maghrib, ibu mereka berdua datang. Saya berjumpa dengannya di pintu keluar masjid dan memohon izin untuk menceritakan apa yang berlaku. Ibu Syazad dan Syabaz begitu terkejut dan hampir terduduk.

Never in my family… anyone with that kind of attitude! Syabaz come here!”, ibu mereka menjerit memanggil Syabaz dan Syazad yang sedang duduk menongkat dagu di atas tangga masjid.

Syabaz dipukul di depan orang ramai dan ibunya tidak henti-henti mengherdik, “shame on you Syabaz!” Saya cuba menghalang ibu mereka daripada terus memukul Syabaz. Walau pun perbuatan meludah guru Quran adalah sesuatu yang sangat mengaibkan, namun saya faham yang kanak-kanak hiperaktif seperti Syabaz melakukannya secara tidak sengaja. Syabaz memeluk kaki saya dan ibunya terus memukul dia di belakang.

You don’t have a father, Syabaz. I don’t know where he is, Imam. He left us with nothing. I put my trust on my children but this rascal dissappointed me!“, ibu mereka menangis dan tidak habis-habis menyebut tentang rasa malunya di atas perbuatan Syabaz itu tadi.

Saya terasa seperti menyesal memberitahu kisah ini kepada ibu Syazad dan Syabaz. Ketika itu saya memeluk erat Syazad dan Syabaz sambil membisikkan ke telinga mereka supaya belajar rajin-rajin dan menjadi Muslim yang baik. Saya tahu malam itu adalah sesi terakhir saya bersama mereka kerana ibu murid-murid saya ini mengambil keputusan untuk memberhentikan anak-anaknya daripada kelas Quran di masjid. Sukar untuk saya bayangkan kesedihan tentang hal-hal seperti ini. Semasa Eid, sambil memberi khutbah, mata saya kadang-kadang melilau melihat gelagat anak-anak ahli jemaah masjid. Pernah saya ternampak Syazad dan Syabaz di hujung dewan, namun mereka semacam melarikan diri dari saya.

Hari ini umur mereka sudah mencecah 15 dan 17 tahun. Sudah jadi anak muda. Saya doakan agar Syazad, Syabaz, Pisol, Salman dan ramai lagi anak murid saya di Belfast Islamic School dapat membesar dengan iman kerana perjuangan untuk itu di bumi Ireland, bukanlah suatu yang mudah. Hanya hidayah-Nya yang saya pohon moga Allah bersamamu wahai anak-anak muridku…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

14 Comments »

  1. shiha said

    Salam… ustaz… tersengih2 saya baca depan PC :) . Kelakar. Boleh menenangkan hati yang gundah gulana, tapi pengalaman ustaz ni banyak maksud yang tersurat dan tersirat. Cerita yang Darjah 1 tu paling best. Cerita2 yang lain tu, macam pernah saya baca dulu? Tapi takpe, maybe ramai lagi readers yang boleh benefit dgn pengalaman ustaz ni. Wasalam.

  2. Wsalam. Ni artikel lama. 10 mac 2006. Saya reload sebab dah lama terpendam. Dan lepas ni nak kaitkan dengan artikel yang sedang saya tulis tentang kesedaran ibu bapa detect masalah dyslexia, ADHD, Autism dll pada anak-anak di Malaysia, Insya Allah

  3. Kak Ija said

    Salam Ustaz,
    Bab2 cerita anak aktif ni macam anak akak je. Cuma mereka tak ada masalah pembelajaran. Tapi cikgu kelas tadika anak lelaki akak bijak(dah hadiri kursus), dia jadikan anak akak guru pembantu. Dapat le anak akak manfaatkan suara dia yang hebat tu(his favorite word) dan mengurangkan dia membuat lawatan tidak rasmi ke kelas2 lain.
    InsyaAllah, cikgu2 sekarang dah improve, masa anak sulung akak darjah 1, dia tak cukup 1A utk naik pentas. Syaratnya kena 5A dia dpt 4A je. Cikgu bagi buku dalam kelas, siap ada cop Hadiah Kecemerlangan Akademik. Tapi akak bagi dia debriefing juga supaya dia sedar ini consolidation prize aje.

  4. shiha said

    Ustaz.. bukan ibu bapa saja, cikgu – cikgi juga penting. Sama – sama bekerjasama dgn parents dalam hal ni. Baguslah kalau ustaz nak ceritakan pasal ADHD (teringat dekat Yin), Dyslexia etc. Sometimes, we as doctors, susah nak interpretekan diseases ni dlm layman term – sebab dah terbiasa dengan medical terms (which, sometimes, I have the difficulty to understand also!). Ustaz boleh menjadi medium pengantara antara medical and layman. Lebih berkesan gitu.

  5. badrul said

    Assalamualaikum ustaz
    berkenaan dengan dyslexia, alhamdulillah di Malaysia mmg ada sistem pendidikan yg khusus utk mereka. dan bukan setakat utk mereka, malah utk lain2 seperti down sindrom, autisme, adhd pun ada. yg menjadi masalah di malaysia ialah kekurangan guru2 yg ingin mengajar mereka. maklumlah, bukan sebarang orang yg boleh meluangkan masa utk bersama2 kanak2 istimewa ini. ada juga ibu bapa yg mempunyai anak2 normal tetapi lemah dalam pelajaran tetapi mengusahakan sesuatu supaya anak mereka dimasukkan ke dalam kelas dyslexia! tujuannya supaya tidak malu kerana berada di dalam kedudukan corot di dalam kelas biasa… masalah macam ini pun ada.
    isteri saya seorang guru dyslexia , bukannya saya hehehe. beliau pernah tunjukkan kepada saya hasil lukisan seorang murid dyslexia, lukisan kartun robot, seperti gundam, macross. walaupun mereka menghadapi masalah dari beberapa sudut normal, tetapi di kalangan mereka tetap ada yang hebat!!!.
    yup saya setuju dgn ustaz, zaman dahulu ada rakan2 saya yang menghidapi masalah2 seperti ini, tetapi pada ketika itu, tiada siapa yg tahu masalah mereka sebenarnya, maka selalulah mereka makan penampar guru2 dan terus dipinggirkan. tetapi salah seorang rakan saya yg tersebut, kini saya rasa sudah mampu mengira kerana dia sekarang adalah tauke kedai makan yg berjaya!!!

  6. latahzan said

    salam ustaz,
    sebenarnyer, sy dh baca entri ni thn lps….tapi sbb ustaz re-post entri ni, sy pun terpanggil utk bg respon sy…sy x mau cerita psl sekolah & aqidah atau apaper…sy cume suker nk kongsi psl pengalaman sy sebagai bakal guru….betul, sy setuju, pelajar spt salman memang boleh dibantu….mcm yg ustaz cerita, dy boleh jawab aper yg ustaz tanyer, walopon nmpk mcm x pay attention…sy sdg belajar di new zealand dan issue ini ader kami bincangkn…rupa2nyer, ramai jer coursemate sy yg new zealanders masuk belajar “u” walopon dh berusia, atas dasar inginkn yg terbaik utk anak2 yg ader masalah mcm ni sbb, anak2 mereka pon hadapi masalah yg sama….tapi, bezanya, mrk ader kesedaran yg anak2 mereka boleh dibantu…ader seorg coursemate sy bgtau yg anak dy, sgt dibenci oleh guru2 & classmates….sbbnyer, dy xleh duduk diam & agak agresif….akhirnyer, ader seorg activist yg juga pakar dlm bidang ni, wat tour ke sekolah2 & terangkn keadaan pelajr2 yg mcm salman & aper kemungkinan yg boleh dibuat utk bantu mereka….dan, alhamdulillah, kwn sy ni, dgr ceramah & setuju utk anak didiagnos, & ternyata anak dy ader masalah dgn mata…mata dy x leh nk fokus, kejap kelam, kejap jelas….that’s why, dy x leh duduk diam & agak agresif…dy x brp nk nmpk, jadi keadaan sekeliling agak merunsingkn utk dy…..dan sepjg wkt tutorial tuh, ader 3 lagi coursemates yg menceritakn pengalaman mereka, yg mana anak2 mrk didiagnos ader ADHD atau dyslexia…..kebyknnyer, ader kaitan dgn mata mereka….setelah dibantu, anak2 mereka mmg ternyata pelajar yg cemerlang….sy cumer berharap, bila sy jadi cikgu nanti, sy akan lbh peka dgn perkara ni, spy sy x menzalimi diri sy & anak2 murid sy, insya Allah, amin…..krn, sy rasa, spjg zmn sekolah sy, cikgu2 lebih suker melabel murid2 yg dikatakn “bermasalah” sbg “x leh dibantu”….dan mereka dibiarkn tercicir, sdgkn kalu diberi perhatian, mrk berpotensi utk sama2 membangun ummah dgn saf society yg lain….sy x bermksd meletak t/jwb ni kpd cikgu semata2, sy lbh percaya, ia adalah t/jwb bersama, lebih2 kpd ibu bapa……

    sy juga ader pengalaman yg sama mcm ustaz masa sy sek rendah….sy darjah 2 masa tu & sy ingat vividly incident nih….cikgu srh lukis gmbr krt proton saga, lps tu, isi tempat kosong…ini kereta proton saga…kereta ini diperbuat di____________…..sy jwb shah alam….kwn2 sy jwb m’sia……kereta ini sangat________….sy tulis sgt unik….tapi, kwn2 sumer tulis sgt cantik…esoknyer, cikgu plgkn buku…sy dpt salah utk jwpn2 unik & shah alam yg sy bg….sy jumper cikgu sy, dy kata, jwpn sy betul, tapi dy nk jwpn yg lain (yg kwn2 st bg) sesuai dgn level sy sbg pelajar darjah 2…..sejak ari tuh, sy wat kesimpulan, “alah, x payah tau byk2, nanti dapat salah”

    ini jer yg dpt sy kongsi, maklumlah, bdk baru belajar….salam

  7. YeopMayuru said

    Nak menangis baca ni Ustaz. Teringat telatah sendiri masa di UK dulu kecik-kecik…

  8. taqeyyabella said

    Tak dapat dibayangkan bagaimana perasaan udin ketika diludah oleh mereka. Teringat kisah dua tahun lalu di sebuah tadika di bangi, ketika menjaga pelajar-pelajar itu mandi salah seorang dari mereka dengan sengaja menyeburkan air ke arah saya dan dengan reflek tangan saya bergerak laju memukul badan pelajar itu. Barulah saya tahu akan darah muda saya dan amat menyesali perbuatan itu. Pelajar itu juga terdiam tentunya kerana sakit dan terkejut dengan tindak balas saya. Masih jelas bekas tangan berwarna merah dibelakang pelajar itu.

    Seorang pendidik memang perlu extra-sabar…

  9. humaira said

    seronok baca. =)

  10. ummuhurairah said

    ~pengajaran yang super-bagus untuk menjadi pendidik..=)

  11. razak said

    Mulanya baca sikit je….tetapi eh, best pula rasanya, langsung baca sampai habis. Tahniah, satu pengalaman yang boleh dikongsi bersama……

  12. Sharudin said

    Nampak akhi Razak baca saya pun baca

    1. Tambah satu lagi artikel Ustaz yang saya dah baca. Memang banyak yang perlu dibaca. Nak cuba dapatkan iktibar dari setiap artikel yang dibaca, samada Ustaz punya atau yang lain.
    Tak dapat dinafikan kemampuan Ustaz seperti tak terbatas. Kecenderungan Ustaz melihat kepada semua permasaalah hidup sangat dikagumi, sebagaimana doktor yang mengatakan Ustaz boleh jadi perantara menerangkan ADHD dan berbagai lagi.

    2. Saya hanya berminat melihat system bukan manusia, nature bukan manusia dan sebagainya. Kalau masaalah sains, berhari menghadapinya pun tak menjadi masaalah, tetapi kalau yang berkaitan dengan manusia, terutama perangai, saya sangat fobia, walaupun berkali pernah mencuba. Selain dari PR semasa kerja, beberapa pengalaman berpersatuan (spt PIBG dan Mesjid) hanya membuktikan saya perlu jauh dari situasi demikian.

    3. Situasi yang selalu saya rumuskan sebagai 1+1= apa saja yang mereka rasa. Saya akan cuba lari dari segala permasaalahan yang jawapannya bukan 2 (kepada 1+1). Saya melihat contoh robotik yang ada pada alam ialah Qadar Allah. Allah melaksanakan sesuatu dengan kadar. Yang tak berminat mengikut kadar, maka terkeluarlah dari mendapat hasilnya.

    4. Kalau diikutkan manusia, segala keadilan hanya untuknya, tidak langsung untuk mahluk lain. Melayan manusia tidak mahu mengikuti Qadar Allah bermakna kita tidak mahu memahami carakerja Allah. Ramai manusia membuat kesilapan pemilihan (Qodo) tapi yang mengulangi kesilapan yang sama itu, yang menambah statistik masaalah manusia.

    Sekadar membentang, seperti biasa.

  13. batman said

    salam…
    timer kacih ustaz…
    byk info saya dapat dari article ni..
    agak menarik minat saya menjadi guru prasekolah… insyallah kalau lulus interview kpli nanti….
    banyak kene sabor nih…

  14. [...] lebih banyaklah masalah yang dapat dikenal pasti dan dirawat. Terdahulu saya pernah menulis tentang nasib anak murid saya di Belfast yang mengidap masalah dyslexia. Begitu juga dengan masalah Autism yang menjadi ujian kepada [...]

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Leave a Comment