Archive for December, 2006

Apa Ada Pada Nama

imad_1wk.jpg

Seminggu sudah berlalu. Imad pun sihat. Kuningnya walaupun turun sampai ke peha, kiraan 185 masih jauh dari paras yang memerlukan admission ke wad.

Alhamdulillah, tidak banyak kesulitan yang timbul.

Kalau Yeop Saif, menjadi kebanggaan kerana mempunyai dua adik, mengalahkan sepupu-sepupunya yang seangkatan dengannya. Bagi Kak Nyah Naurah, ada sedikit kesedihan di wajahnya. Naurah dengan sendirinya menapak ke belakang, memerhatikan sahaja dari jauh, tumpuan Ummi beralih kepada adik Imad. Bukan mudah untuk menyerahkan jawatan “adik” kepada adik baru.

Saya bersyukur kerana beberapa hari yang awal selepas kelahiran Imad, saya masih ada sejumlah masa untuk keluarga.

Yeop Saif mesti diasuh agar bertanggungjawab kepada adik-adiknya. Boleh diharap untuk “˜menengok-nengok”™, khususnya Imad yang masih kecil. Yeop Saif sangat brotherly. Alhamdulillah, kalau Kak Nyah Naurah buat sesuatu yang dirasakan agak merbahaya untuk Imad, Yeop Saif cepat menegah, cepat memberitahu Abi dan Ummi.

Kak Nyah Naurah juga jauh lebih mudah dari yang kami jangkakan. Walaupun di hari-hari pertama, ada semacam kejutan pada dirinya, tetapi Kak Nyah Naurah cepat menyesuaikan diri. Naurah tidaklah begitu minat atau mesra dengan kanak-kanak lain. Dia lebih suka bermain dengan kakak-kakak yang lebih tua darinya. Tetapi dengan Imad, Naurah sudah mula menampaknya skillnya sebagai seorang kakak.

Bangun sahaja pada waktu pagi, atau terdengar sahaja Imad merengek, Kak Nyah Naurah akan segera berlari mendapatkan Imad.

Alhamdulillah, siapakah yang mengajar semua ini? Siapakah yang melimpahkan keupayaan untuk kasih dan sayang di hati Abi, Ummi, Yeop Saif, dan Kak Nyah Naurah kepada insan yang baru hadir ke dunia kami, Muhammad Imaduddin?

Itulah Allah. Allah jualah yang mencipta kasih sayang sesama manusia, agar dengan kasih sayang itu, kita menyayangi-Nya.

PANGKAT NAMA

Sejak Ummi mengandungkan Naurah, Saiful Islam sudah pun dipanggil Yeop. Ia tradisi orang Perak, menggelar anak sulung dengan pangkat itu. Kekadang dipanggil Che”™ Lop. Agak khusus, berbanding dengan Along, yang lebih masyhur diguna pakai di semua negeri. Apabila Ummi mengandungkan Imad, Naurah Sabihah sudah pun kami gelar dengan panggilan Kak Nyah. Sehingga dengan kawan-kawan pun, Saif suka membahasakan dirinya sebagai “˜Yeop”™. Naurah sedang mula membiasakan dirinya dipanggil Kak Nyah.

Panggilan itu bukanlah semata-mata adat. Ada sesuatu yang bernilaikan Tarbiyah, yang ingin kami perolehi dari amalan seperti ini.

Antara Sunnah yang diajarkan kepada kita, adalah Takniyah dalam memanggil anak-anak. Takniyah itu bermaksud memberikan Kun-yah (كنية) kepada anak-anak dengan memanggil yang lelaki dengan nama “Abu “¦” atau yang perempuan dengan nama “Ummu “¦”

Anas Radhiyallahu “˜anhu menceritakan bahawa beliau mempunyai seorang adik yang digelar sebagai Abu “˜Umair. Sedangkan umurnya baru sahaja melepasi umur berhenti menyusu. Apabila beliau lalu di hadapan Rasulullah s.a.w, Baginda akan berkata kepadanya, “Wahai Abu “˜Umair, apakah yang burung kecil itu sedang lakukan?” (Al-Bukhari)

Amalan ini besar tujuannya. Dengan memanggil si anak kecil menggunakan gelaran seumpama itu, ia mendorong kepada kesegeraan anak-anak ini menjadi dewasa dan merasa bertanggungjawab.

Dalam masyarakat kita, mungkin memanggil seseorang dengan ABU bukan merupakan suatu kebiasaan. Tetapi sejak sekian lama, panggilan-panggilan seperti Yeop, Nyah, Alang, Achik, Andak, dan lain-lain, dilakukan oleh generasi ibu bapa kita dengan tujuan yang sama.

Bukan mudah untuk mematangkan peribadi, di era mewah dan manja seperti hari ini.

Kalaulah seorang anak, dipanggil dengan nama yang membantutkan kedewasaannya, maka ibu bapalah yang harus dipersalahkan. Sebagai contoh, seorang anak lelaki dipanggil dengan nama “Boboy”, maka anak itu akan terus menjadi Boboy walau pun sudah berjanggut. Akhirnya, untuk si Boboy ini memberitahu ibunya yang beliau mahu berumahtangga pun, jadi kekok. Ibu bapa masih merasakan Boboy, sebagai anak kecil keluarga mereka, selepas lebih 20 tahun Boboy itu turun dari dukungan.

Ia hanya contoh, harap Boboy tidak marahkan saya kerana meminjam contoh seperti ini.

Nama-nama juga amat perlu untuk dipilih agar menjurus kepada peribadi yang diinginkan. Biar nama anak lelaki, menjurus kepada peribadi yang teguh, tegas, kental, berkepimpinan dan berwibawa. Manakala nama anak perempuan, menjurus kepada peribadi yang jernih, lembut dan terpelihara, mencantikkan maruah diri.

Selepas anak-anak diberi nama yang baik, susulkanlah pula dengan didikan yang bersesuaian dengan nama yang diberi. Kalau Muhammad dibesarkan dengan cara musuh Muhammad, akan lahirlah di akhir zaman Abu Lahab dan Abu Jahal bernama Muhammad. Naudhubillah.

Amat terhiris, bertemu dengan nama-nama yang mulia, berdansa di pentas maksiat. Jika “Hidayah” mempromosikan “Jahiliah”, apalah yang ada pada sebuah nama!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
09 Disember 2006

Comments (3)

Tiga Hospital Tiga Suasana

cahayamataku.jpg

Alhamdulillah.

Syukur kepada Allah, harapan saya bersama isteri untuk menjarakkan anak kami pada kadar sekitar 2 tahun, diizinkan Allah. Saya amat percaya kepada hikmah di sebalik Islam menegaskan kepada keperluan ini. Setahun pertama usia anak-anak kita, dia tidak punya banyak emosi dan watak. Tangisannya banyak menuntut kepada keperluan fizikal semata-mata. Tetapi apabila anak kita masuk ke tahun kedua usianya, ia mula berwatak dan mengalami perkembangan emosi. Ketika inilah, perhatian seorang ibu dan bapa amat penting. Perhatian ibu bapa adalah penting pada usia ini kerana pada masa inilah emosinya sebagai seorang insan dibina. Kasih sayang perlu diberi, tunjuk ajar mesti diteladani.

Read the rest of this entry »

Comments (5)