
“Fatih!”, saya bingkas bangun.
“Hah, kenapa agabey?”, Fatih terkejut.
“Saya bermimpi!”, lemah rasanya badan. Mimpi bukan-bukan, sampai penat macam kejadian sebenar pula.
Fatih membetulkan duduknya. Mahu mendengar cerita tentang mimpi saya.

Kelas Sabtu lalu amat berharga. Tidak sia-sia saya berkejar dari Tanjung Malim ke UIA di Gombak dan balik semula ke Tanjung Malim untuk menyambung kerja.
Di dalam pertemuan kami, kelas berdiskusi tentang persoalan pandangan Barat terhadap Islam di Zaman Pertengahan. Tentunya, teks yang menjadi asas diskusi kami adalah rakaman kuliah yang disampaikan oleh R.W. Southern di Universiti Harvard pada April 1961. Ia dibukukan di bawah tajuk, Western Views of Islam in the Middle Ages (ISBN 0-674-95055-0).
Di dalam ucapannya, Southern telah membahagikan era perkembangan persepsi Barat terhadap Islam kepada tiga era iaitu apa yang dinamakan sebagai The Age of Ignorance, The Century of Reason and Hope dan The Moment of Vision.
Di era kejahilan Eropah terhadap agama kita, mereka sangat jahil dan bebal dalam menanggapi Islam. Mereka tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mereka memahami Islam. Contoh terdekat yang boleh mereka gunakan adalah dengan membandingkan Islam dengan tradisi Yahudi. Agama Yahudi mempunyai pelbagai prinsip yang dilihat sama dengan Islam, seperti menegaskan keesaan Tuhan dan menolak Trinity.
Akan tetapi, masalah Eropah ketika itu bukanlah masalah maklumat. Ia lebih kepada masalah sikap dan pemikiran. Mereka sudah lama berjiran dan berhubung dengan umat Islam, tetapi persepsi mereka yang menjadi tembok penghalang.
Selama ini, Eropah memperlekehkan Yahudi yang miskin, melarat, dan dibenci, sebagaimana yang digambarkan oleh William Shakespear di dalam karyanya The Merchant of Venice. Sedangkan di era sekitar kurun ke 10M, Islam begitu gah dan hebat, tidak seperti imej Yahudi. Kelekehan Yahudi membolehkan Eropah untuk mengabaikan sahaja apa-apa idea mereka, tetapi kredibiliti Islam membuatkan Eropah gelisah kerana tidak boleh memejamkan mata terhadap Islam. Maka cubaan untuk memahami Islam dari imej Yahudi, agak membingungkan. Eropah keliru.
“Seperti seorang banduan yang berada di dalam penjara, kemudian mendengar khabar-khabar angin tentang peristiwa yang berlaku di luar, lantas banduan itu cuba melakar peristiwa yang didengarinya itu, dengan bantuan idea yang telah sedia ada di dalam fikirannya!”, begitulah analogi R.W. Southern untuk membayangkan keadaan penulis Barat tentang Islam sebelum tahun 1100.
Mereka langsung tidak tahu tentang Islam sebagai sebuah agama. Pada mereka, Islam dan Muslim hanyalah sekumpulan musuh yang mengancam dunia Kristian dari segenap sudut. Pada mereka, tidak perlu dibezakan di antara Tauhid Islam dengan penyembahan berhala primitif kaum Northmen, Slavs dan Magyars. Semuanya diangkut sebakul, semuanya adalah musuh agama Kristian.
“Mereka begitu bukan kerana kurang maklumat atau tidak berpeluang mengenal Islam secara dekat” kata Prof Al-Ahsan.
“Sikap, memandang remeh dan menjahilkan diri terhadap musuh!”, saya menambah.
“Dan dengan kejahilan mereka terhadap musuh, mereka tidak berupaya untuk mengalahkan musuh!”, kata Adam.
Benar, inilah kesimpulan kami kepada bahagian pertama kuliah R.W. Southern tersebut.
“Apa yang kita boleh belajar dari hal ini?”, tanya Prof Abdullah al-Ahsan.
Kami semua tersenyum.
Saya memberanikan diri untuk menjawab.
THE AGE OF MUSLIM IGNORANCE
Pada saya, apa yang telah membelenggu Eropah di era itu, hal yang sama jugalah sedang membelenggu pemikiran umat Islam hari ini. Saya bimbang dengan pemikiran simplistik umat Islam di Malaysia hari ini. Jika Tok Wan di kampung, tentulah saya tidak bimbang. Tetapi yang menjadi kerisauan saya adalah tokoh-tokoh masyarakat, ahli politik dan Ulama sendiri.
Di era penghormatan orang ramai terhadap Ulama semakin terhakis, ramai Ulama yang dengan sendiri menambah sebab untuk mereka tidak dihormati.
Suatu ketika, kita beranggapan bahawa semua yang menentang Islam adalah Orientalis. Semua Orientalis adalah musuh Islam. Walaupun mungkin kita bahagikan Orientalis kepada Orientalis klasik, moden, dan pasca moden, namun kita beranggapan bahawa semua kelompok ini bekerja untuk menjayakan agenda penjajahan dan merancang untuk membinasakan Islam. Lantas kita gagal bersikap adil, dan seterusnya terhijab dari mengambil manfaat menerusi kajian Orientalis yang bermaksud baik seperti Arnold Toynbee.
Kita juga marah dengan Orientalis kerana menyalah tafsirkan Islam, bagaimana pula dengan jenayah kita menyalah tafsirkan Eropah? Apakah kita sudah menghasilkan terjemahan Islam terhadap Western Civilization? Orientalis gigih bekerja, dan kita hanya gigih menangkis, semata-mata.
Saya terkejut apabila mendapati ada di kalangan rakan saya yang belajar di Eropah tetapi menumpukan pembacaan tentang Orientalis kepada hasil karya orang Islam terhadap subjek tersebut. Tentunya pembacaan sedemikian rupa akan diwarnai oleh bahasa sacarstic, prejudis dan sinis yang merugikan. Sedangkan saya dan rakan-rakan di Malaysia, kami bertungkus lumus membaca tentang Orientalis berasaskan karya Orientalis sendiri, agar kami tidak bias, dan boleh membuat kesimpulan yang adil tentang mereka.
Kami menempuh kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan tentang Orientalis, dan jika ada terjual di Kinokuniya atau Borders, harganya menyeksa diri. Sedangkan mereka yang berada di Eropah tidak mengambil peluang daripada keberadaan mereka di sana, untuk mendalami isu ini dari sumbernya yang asli.
PUKUL RATA
Saya masih ingat di akhir 80an dan awal 90an, kita juga pernah menggunakan pukat tunda untuk melabel musuh Islam. Pada kita, asalkan ada sahaja versi Islam yang ‘anti tradisional’ dan sedikit berbau ‘liberal’, kita tuduh ia sebagai agenda IIIT (masyhur disebut sebagai Tripple I-T) dan Islam ala Amerika. Versi Islam yang direstui Amerika!
Hari ini, kritikan terhadap tradisi Islam semakin tajam, dan kita sekali lagi menggunakan pendekatan yang sempit, melabelkan semua anti Islam sebagai Islam Liberal. Kita tidak halusi pengertian Islam, dan kita tidak teliti dalam pengungkapan Liberal. Walhal, suara-suara ‘Islam Liberal’ yang ada hari ini, Islamnya pun tidak seberapa, Liberalnya pun menimbulkan persoalan.
“Sudah 3 tahun saya berusaha memujuk UIA agar subjek Introduction to the Western Civilization, diangkat menjadi subjek wajib universiti. Paling kurang, ia menjadi subjek wajib pelajar IRK”, kata Prof Abdullah al-Ahsan.
Saya akui, selepas mendalami Sejarah Eropah Moden, berkenalan dengan karya-karya George Sarton, Adam Smith, John Stuart Mill dan ulasan-ulasan Prof al-Ahsan terhadap buku silibus kami, Western Civilization: A Brief History oleh Marvin Perry, dan sebuah lagi buku dengan tajuk yang sama oleh Jackson J. Spielvogel, persepsi saya banyak berubah.
Saya teruja kerana melihat betapa asal usul idea seperti Liberalisma, Nasionalisma, malah Sosialisma, terbit dari kerangka pemikiran berteraskan agama! Eropah yang dibelenggu pelbagai krisis hablun minaLlah dan hablun minannaas, cuba menterjemahkan apa yang mereka faham tentang agama, melalui idea-idea liberal, konservatif, nasionalis dan sosialis.
Fahaman liberal mahu memulihkan identiti setiap insan sebagai individu, memberikan hak kepada mereka untuk berhubung dengan Tuhan tanpa melalui pihak ketiga, serta mahu mendefinisikan hak serta peranan mereka sebagai individu. Konservatif pula mahu memfokuskan hakikat insan sebagai manusia yang tabiatnya adalah berjemaah, bersosial dan berkelompok. Kedua-duanya mahu memperjuangkan aspek yang ada justifikasinya.
LIBERALISMA TAJDID DAN ‘ISLAM LIBERAL’
Liberalisma muncul di Eropah dalam kerangka agama. Idea tersebut terus berkembang dan mengalami perkembangan dari semasa ke semasa.
Di kalangan masyarakat Islam, golongan Tajdid mahu memulihkan kedudukan individu agar tidak terkongkong oleh taqlid yang bersandarkan kepada institusi agama. Tajdid mahu setiap individu berhak untuk memahami dalil dan sandaran hukum agar dapat beragama tanpa bergantung kepada pihak ketiga. Di sini, prinsip Liberalisma terguna pakai. Malah gerakan Tajdid hari ini, sering pula diseru kepada mencontohi gerakan Liberalisasi Martin Luther yang membawa reformasi agama terhadap institusi Katholik, sebagaimana yang sering dicontohkan oleh Muslim Professional Forum (MPF).
Di satu sudut yang lain, golongan yang sering dilabelkan sebagai ‘Islam Liberal’ oleh seterunya, turut menentang ‘tradisi agama’. Mereka membangkitkan soal kod moral kerana mahu peranan individu lebih terserlah di dalam otoriti beragama. Di atas titik ini, prinsip Liberalisma turut diguna pakai, walaupun dengan versi Liberalisma yang telah berbeza.
Kedua-dua golongan ini mensasarkan kritikan kepada arah yang sama iaitu golongan konservatif agama.
Sedangkan kedua-dua kumpulan ini mempunyai motif yang berbeza. Golongan Tajdid mahu mengukuhkan pegangan individu terhadap agama, sedangkan golongan ‘Islam Liberal’ pula mahu melonggarkan ikatan agama.
Namun, jika golongan Tajdid tidak berhati-hati, mereka akan pergi senada dengan golongan ‘Islam Liberal’.
Kedua-duanya lantang mengkritik konservatif agama, yang ada di dalam institusi kerajaan, juga parti pembangkang Islam. Golongan Tajdid dan ‘Islam Liberal’ bertemu di pentas LIBERALISMA. Pertemuan itu mudah berlaku kerana idea Liberalisma terbit dari usul agama. Liberalisma Tajdid terbit dari Usul Islam, dan Liberalisma aliran ‘Islam Liberal’ pula terbit dari Usul Christendom. Jika konservatif yang ditentang adalah konservatif golongan agama, maka Tajdid dan ‘Islam Liberal’ boleh bangkit senada.
Mungkin inilah yang perlu diperhalusi oleh SS Mufti Perlis ketika menerima siri compliment dari pelbagai pihak atas kelantangannya mengkritik golongan konservatif agama. Institusi agama dikritik, segelintir dari parti pembangkang Islam turut terheret sama, apabila yang bertembung sebenarnya adalah pemikiran Liberalisma dengan Konservatisma.

Sedangkan pada amatan saya, Tajdid yang Liberal mempunyai lebih banyak persamaan dengan kumpulan Islam yang Konservatif, berbanding dengan ‘Islam Liberal’ yang menuju ke arah yang berbeza. Jika mindset parti pembangkang Islam yang sering menjadi sasaran kritikan SS Mufti Perlis itu boleh diperbaiki, kerjasama antara Tajdid dengan perkumpulan Islam ini adalah lebih tulen bagi agenda membela Islam.
Semoga hal ini tidak menjadi musibah kepada Ummah!
PENJENAYAH DI SEBALIK DARWINISMA
Saya sering melihat Teori Evolusi sebagai suatu bencana, khususnya apabila ia diterjemahkan dalam bentuk ‘hak bangsa hebat seperti Barat untuk menjajah bangsa yang lebih lemah’. Saya memperolehi banyak sumber untuk mengutuk Charles Darwin (1809-1882) yang telah mengemukakan teori ’syaitan’ ini. Karangan-karangan yang terbit dalam kerangka ‘bahasa konspirasi’ seperti tulisan Harun Yahya, menambah lagi kebencian saya terhadap Darwinisma.
Tetapi selepas membaca sendiri susur galur perkembangan Darwinisma dari sumber Eropah, saya dapat melihat dengan jelas, benih tumbuhnya idea ini. Bermula dari kajian datuk kepada Charles Darwin iaitu Erasmus Darwin yang telah menulis pada tahun 1794, Zoonomia (The Law of Organic Life), membawa kepada kajian Charles Darwin di dalam Origin of Species (1859) dan Descent of Man (1871), saya dapat melihat bahawa penjenayah terbesarnya adalah golongan yang datang kemudian. Bukannya Erasmus dan Charles itu sendiri. Golongan Social Darwinists adalah golongan yang bertanggungjawab memindahkan teori saintifik Charles Darwin kepada aspek sosial dan ekonomi, yang menjadi teras kepada Kolonialisma.
Berlaku adil kepada kawan dan lawan, adalah prinsip tinggi di dalam Islam.
Jika kita boleh akur bahawa idea-idea yang muncul dari Barat itu banyak yang diaspirasikan oleh agama, maka tidaklah sukar untuk kita melihat faedah idea ini kepada pemulihan Islam. Bukan memulihkan Islam dengan sentuhan Barat, tetapi meminjam prinsip agama Islam yang secara tidak langsung diperhaluskan dalam bentuk polisi oleh tamadun Barat. Asalkan kita adil terhadap kawan dan lawan, boleh menghargai perkembangan sejarah terhadap satu-satu idea.
Tidaklah nanti, kita sentiasa paranoid terhadap apa sahaja yang bernama Barat!
Paranoid inilah yang merugikan umat Islam di Barat hari ini.
PARANOID TERHADAP SEMUA YANG BARAT
Sehingga kini saya masih lagi menjadi ahli kepada The Islamic Schools League of America. Jika dinilai dari sudut pendidikan sahaja pun, umat Islam di Amerika Syarikat sudah jauh lebih maju meninggalkan pencapaian umat Islam di United Kingdom, Ireland dan Perancis. Malah dari segi politik, Keith Ellison sudah berjaya menempatkan dirinya sebagai anggota Muslim pertama di Dewan Kongress Amerika Syarikat.
Tetapi ramai umat Islam yang masih paranoid. Ada yang melabelkan Keith Ellison sebagai Zionis Muslim, semata-mata beliau menerima undi daripada sejumlah orang Yahudi di tempat beliau bertanding!
Umat Islam di United Kingdom masih melatah-latah apabila Shaykh Haitham Jawwad Al-Haddad menyarankan agar umat Islam yang menghuni United Kingdom mengundi parti yang diputuskan oleh Muslim Council of Britain. Mereka menafsirkan partisipasi umat Islam di dalam policy making di negara di mana mereka tinggal, sebagai penyertaan kepada sistem Kuffar. Maka hadith-hadith tentang imitasi satu kaum ke atas satu kaum, konsep tiada dua hati dalam satu badan, isu al-Wala’ dan al-Baraa’ diguna pakai. Lantas umat Islam Eropah memilih isolasi (pemencilan) berbanding integrasi yang lebih harmoni dengan maksud dakwah.
Hal yang sama, saya ratapi apabila melihat kepada perkembangan semasa di Malaysia. Kita meremeh temehkan Eropah dan mengaggapnya sebagai bakul sampah falsafah Yunan dan Greek yang tidak perlu dibuka tudung, agar busuknya tidak melata.
Apabila Ulama tidak mahu menghalusi asas-asas pemikiran Barat, mereka gagal berinteraksi dengan cabaran semasa secara betul. Apabila golongan yang digelar sebagai Islam Liberal bersuara mengkritik beberapa idea tentang Islam, Ulama kita menjawabnya dengan bahasa sempit yang memalukan Ulama sendiri.
TELETUBBIES
Saya ingin berkongsi kisah tentang perbualan saya bersama beberapa orang rakan tentang rancangan kanak-kanak terkemuka di Britain iaitu Teletubbies. Salah satu watak yang ada di dalam rancangan tersebut, dianggap mewakili watak gay, iaitu Tinky Winky. Seorang ‘budak lelaki’ yang berwarna ungu dan bersimbol tiga segi di kepala (warna dan simbol yang sering dikaitkan dengan homoseksualiti) serta membawa beg tangan.

Lantas rakan-rakan saya mengecam rancangan televisyen tersebut.
“Ini konspirasi Barat mahu merosakkan Islam”, kata salah seorang dari kami.
“BBC sengaja mahu menyuntik budaya songsang ini kepada pemikiran kita”, kata seorang yang lain.
Saya termenung.
Benarkah bagai yang didakwa? Apakah semua benda yang tidak bersesuaian dengan kita, datang dari sebuah konspirasi?
Pada fikiran saya, pemikiran Liberal kuat mendominasi masyarakat di England. Golongan gay, sama juga seperti golongan berkulit hitam, golongan OKU malah kumpulan minoriti Islam, sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada kumpulan yang membentuk masyarakat Britain berdasarkan kepada terjemahan Liberalisma semasa.
Maka rancangan ini, jika benar Tinky Winky itu dimaksudkan dengan watak gay, adalah rancangan yang bertujuan mendidik kanak-kanak pra sekolah Britain terhadap polisi negara mereka sendiri. Sebagaimana mereka perlu menghormati penganut mazhab Katholik, mereka juga mesti hormat kepada umat Islam, kaum wanita, golongan hispanic, malah golongan gay.
Ia bukan konspirasi. Unsur itu masuk secara telus dan sedar.
Jika kita rasakan NILAI itu tidak sesuai dengan pegangan kita, maka tinggalkan sahaja rancangan tersebut. Untuk melabel penerbit Teletubbies sebagai ahli konspirasi dan berniat jahat, ia hanya menunjukkan kejahilan kita dan sempitnya fikiran yang mengongkong.
Untuk itu, saya sering meminjamkan nasihat dan cadangan kepada rakan-rakan yang aktif beramal di dalam gerakan Islam, agar berusaha untuk belajar tentang Eropah. Belajar tentang Eropah dari sumber Eropah. Kita tidak perlu berada di Eropah untuk belajar tentang Eropah, sebagaimana masyarakat kita tidak perlu berada di Eropah untuk telah menjadi Eropah.
Mahu tidak mahu, acuan pemikiran dan nilai Eropah itulah yang sedang menguasai umat Islam, juga bukan Islam di negara kita.
Semakin kita menjahilkan diri terhadap musuh, semakin terserlahlah kebodohan kita ketika mendepani mereka.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
[coolplayer width="380" height="70" autoplay="0" loop="0" charset="utf-8" download="1" mediatype=""]
Ratapan Anak Desa
[/coolplayer]

Usrah al-Firdaus Jordan bergabung dengan Usrah al-Wadi Mesir di dalam Konsert Antara Benua, Irbid Jordan 2000
Saya telah dijemput oleh Ketua Editor majalah Dewan Masyarakat untuk mengemukakan pandangan tentang hala tuju nasyid masa kini. Jemputan itu diterima sehari sebelum saya bertolak ke Ireland akhir tahun 2006 baru-baru ini. Ia merupakan tajuk yang sering hinggap di fikiran saya. Fikiran yang semakin caca merba setiap kali cuba mengintai perkembangan ‘cabang seni Islam’ di negara kita ini. Lebih tenang bagi saya untuk mengikuti perkembangan muzik Islam di Ireland dan England, berbanding sentuhan anak watan sendiri yang musykil lagi membingungkan.
Artikel telah pun disiapkan dan maklum balas awal yang saya terima, editor menyatakan bahawa idea saya kontra dengan kebanyakan orang lain, yang ditemuramah oleh Dewan Masyarakat, dan yang menyumbangkan artikel di bawah tajuk yang sama. Isu ini akan diterbitkan untuk majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007 akan datang.
Sungguh jelek, apabila sebuah kumpulan nasyid “™sopan”™ semasa mengadakan konsert, telah menyeru kepada penonton agar tidak menggunakan “˜lighter”™, kerana takut terbakar. Beliau meminta supaya peminatnya menggunakan handphone. Mulanya sukar untuk difahami permintaan itu, kerana siarannya hanya dengan suara di radio Islam negara kita. Rupa-rupanya, beliau menyeru penonton agar mengangkat tangan sambil menghayun-hayunkan handphone sebagai tradisi konsert. Lupa seketika saya kepada definisi nasyid dan tujuannya wujud di alam ini.
Berikut adalah artikel saya yang disiarkan di dalam Majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007, namun di sini adalah versi tanpa edit.
NASYID KONTEMPORARI HILANG ARAH?

Sedekad sudah berlalu semenjak kemunculan album pertama kumpulan nasyid Raihan “Puji-pujian” pada tahun 1996. Ia menjadi fenomena kerana berjaya melakukan anjakan paradigma seluruh masyarakat terhadap identiti nasyid sebagai salah satu cabang seni persembahan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan bahkan mengatasi populariti bintang-bintang yang sedia ada, melalui penjualan album yang mencecah 650,000 unit dalam tempoh beberapa bulan, dan sehingga kini mencecah lebih 1 juta. Angka ini menjadikan album “Puji-pujian” sebagai album terbaik di sepanjang sejarah penghasilan album di negara kita dari segi penjualan rekod.
Semenjak kemunculan Raihan, pelbagai lagi kumpulan nasyid muncul. Hingga ke suatu ketika, genre nasyid menjadi teraju utama kepada arus muzik di negara kita. Ia sama sekali telah mengubah banyak aspek yang lazimnya dikaitkan dengan album nasyid sebelumnya. Jika dahulu, album nasyid hanya dijual di gerai-gerai ceramah agama, toko buku Islam dan pasar-pasar malam, kini nasyid sudah pun berjaya menempatkan diri di premis-premis penjualan album utama, di bawah kelolaan syarikat pemasaran bertaraf antarabangsa.
Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.
Setengah dekad yang pertama semenjak kemunculan Raihan dan yang seangkatan dengannya, nasyid dilihat sebagai suatu bentuk ekspresi seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab, Pakistan dan Iran memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk genre yang tersendiri.
Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “™nasyid kontemporari”™ yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.
MENCARI KELAINAN
Perubahan yang sedemikian sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan. Unsur stereotaip pada irama nasyid, dikhuatiri akan menyulitkan persaingan. Kelainan dan unik, adalah kunci penting untuk survival mana-mana sahaja artis di dalam penghasilan setiap album baru mereka.
MEDIUM MESEJ ISLAM
Selain faktor desakan strategi pemasaran, nasyid tidak lari dari terus dianggap sebagai wadah untuk mesej Islam disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Perubahan selera masyarakat di dalam cita rasa seni mereka, diambil oleh kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari sebagai faktor yang menuntut mereka agar turut berubah dan mengejar trend masyarakat. Dengan cara itu, nasyid boleh tampil dengan imej yang lebih dekat dengan remaja. Dalam erti kata yang lain, perubahan irama nasyid hari ini, dianggap sebagai justifikasi dakwah yang hikmah. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu adalah mengungkapkan mesej Islam dalam bentuk yang menepati sasaran dakwah, iaitu pendengar nasyid. Nasyid kontemporari dengan genre hiphop dan rock ditujukan sebagai dakwah kepada generasi muda yang hiphop dan rock.
Akan tetapi, kepelbagaian irama nasyid kontemporari ini masih terus menimbulkan perbagai persoalan yang wajar diberi perhatian. Sekurang-kurangnya terdapat dua persoalan utama yang menuntut analisa secara mendalam iaitu:
1. Sejauh manakah nasyid di Malaysia hari ini terus relevan sebagai medium dakwah Islam kepada masyarakat?
2. Sejauh manakah nasyid di Malaysia ini boleh menjadi sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai seni bunyi dan muzik Islam?
NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH
Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam konteks itu seawal tahun 80″™an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nadamurni yang dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nadamurni diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-tahun 80″™an dan 90″™an. Konsert-konsert nasyid Nadamurni sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat. Malah di era itu, Nadamurni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa. Peranan Nadamurni yang berdakwah menerusi nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup Aspirasi Seni dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara, khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah agama, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan “™agama”™ dan “™dakwah”™. Ia bukan untuk santapan massa.
Hanya dengan kemunculan album Raihan pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin, Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album “™Puji-pujian”™ mula terbuka kepada memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh “™orang awam”™.
Jika nasyid didefiniskan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang Da”™ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.
Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.
Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.
Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu sendiri?
Lagu Islam yang datang dari masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang dari masyarakat yang mengimitasi hip hop.
Penghasilan irama hip hop bagi penasyid dari kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.
Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya “™Upright Song”™ telah berjaya mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen, Aashiq al-Rasul (AAR) dan Amän,
Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa pendengar yang disasarkan.
Mereka ber”™cakap”™ di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan, tetapi juga bahasa pemikiran.
Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi atau Aşık, iaitu istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi sufism, maka pengungkapan mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi atau Aşık, lebih memudahkan masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.
Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah.
Akan tetapi, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud dakwah?
Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan selera sementara yang datang dan pergi?
Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan mereka diganggu oleh “™nasyid hip hop”™ yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop, mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.
Mungkin kerana ini, “™nasyid hip hop”™ Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.
Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo hip hop?
Kita mesti bezakan di antara penyanyi hip hop yang mendapat kesedaran Islam lantas menyatakan kesedaran itu melalui hip hopnya, berbanding dengan penyanyi nasyid yang konservatif, mendapat “™kesedaran hip hop”™ lantas meninggalkan imej penasyidnya dan menonjolkan perubahan dari nasyid kepada hip hop. Bukan hanya genre yang diubah, malah syakhsiah turut menimbulkan gelisah.
Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih “™konservatif”™, tentunya mereka sukar untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar!
Istilah “™nasyid sebenar”™, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada istilah “™nasyid sebenar”™? Bagaimanakah ia didefinisikan?
Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabarang SENI atau tidak?
NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM
Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit dari disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.
Inilah yang menjadi dilema kepada nasyid di Malaysia. Apakah foundation kepada nasyid kita?
Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan “™seni”™ mereka disandarkan kepada ilmu dan disiplin?
Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam. Mampukah mereka membaca nota lagu?
Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai “penggunaan skil dan imaginasi dalam penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama orang lain”. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.
Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk “The Dimension of Sound” (The World of Islam ““ diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi fazzãziyyãt dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.
Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun dunia.
Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi. Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.
Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.
Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit jiwa!
Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai “pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan Islam sebagai sumber karyanya” dan bukannya sebagai penasyid.
Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.
Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar fakulti Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam yang tinggi dan “™evergreen”™.
Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah “™nasyid sebenar”™ akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.
Berbalik kepada nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan. Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.
Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid hip hop dan yang seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com