Kelas terakhir kami bersama Prof. Kopanski
Petang tadi saya kelam kabut ke IJN, membantu memberikan kaunseling kepada pasangan ibu bapa yang anak kecilnya sedang kritikal bertarung maut. Doakanlah untuk mereka.
Saya bergegas dari IJN mahu ke UIA tetapi sejam menunggu bas di depan Pusrawi, bas tiada, teksi pun sama. Saya bimbang terlepas kelas terakhir saya petang ini bersama Prof. Ataullah Bogdan Kopanski, di dalam subjek Islamic Civilization in al-Andalus. Alhamdulillah, walaupun saya tiba lewat 1 jam 30 minit, tetapi kelewatan saya dikongsi bersama dengan Prof, maka saya tidak terlepas apa-apa. Tiba tepat pada masanya.
Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media. Memang Andalus hebat.
Tetapi ia bukanlah seindah yang digambarkan. Andalus itu pahit dan derita, penuh kebinatangan yang terbit pada wajah manusia, dan kami dengan penuh sabar menekuni liku-liku jatuh dan bangun Andalus bersama Prof Kopanski.
Kelas Andalus ini tidak seperti kelas yang lain. Selama tiga jam (kadang-kadang mencecah 4 jam lebih), kami akan duduk mengelilingi meja bulat bilik kuliah, dan peta Mediterranean Barat akan dibentang. Lagak pegawai tentera sedang mendengar taklimat dari Jeneral yang bertitah merancang strategi. Prof. Kopanski menarik perhatian kami untuk mengaitkan setiap satu peristiwa, kepada lokasinya di atas peta.
Kembara kami bermula, dengan penyiasatan tentang siapakah sebenarnya Tariq bin Ziyad. Seorang tokoh yang muncul dari misteri sejarah, melakar kejayaan luar biasa menguasai Semenanjung Iberia dalam jangka masa yang singkat, terfitnah bersama Musa bin Nusair lalu dipanggil mengadap Khalifah di Dimasyq, dan kemudian hilang dalam misteri sejarah yang matinya tidak bernesan, hidupnya tiada catatan. Prof. Kopanski mengemukakan teori bahawa Tariq bin Ziyad bukan Berber dari Afrika Utara, tidak juga Arab Mesir mahu pun Yaman dan Syam, beliau adalah Visigoth Jerman, dari penduduk Semenanjung Iberia yang kemudiannya menerima Islam di Afrika Utara, sama ada oleh dirinya sendiri, atau melalui bapanya yang berhijrah ke Afrika Utara.
Kembara kami diteruskan lagi dengan pelbagai catatan jatuh bangun, diserikan pula oleh gaya Prof Kopanski yang seperti pelakon teater. 3 jam kami di dalam kelas, seperti menonton filem Andalus yang pengarah, penerbit, penulis skrip dan pelakonnya adalah Prof Kopanski. Hebat…
Minggu lalu kami berbahas tentang Andalus menurut perspektif Ibn Hazm al-Andalusi. Sungguh teruja, dan lucu dengan syair-syair Ibn Hazm yang jatuh hati dengan seorang hamba wanita milik jirannya. Syair itu dianalisa untuk melihat dunia yang berbeza, ketika Islam tinggi, ketika bangsa yang kulitnya berwarna lebih mulia dan berpendidikan, berbanding si kulit putih yang hina, kotor dan digambarkan oleh Ibn Fadlan sebagai berotak beku, mangsa cuaca sejuk yang menjumudkan wujud mereka.
Langkah kami sampai ke penghujungnya malam ini. Selama 4 jam kami di dalam kelas, Prof Kopanski membawakan catatan beliau pada manuskrip yang dikutip dari Maghribi, berkenaan dengan laporan pegawai polis yang menyiasat keadaan sisa-sisa umat Islam selepas pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope pada tahun 1492. Penyiasatan itu merujuk kepada daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador. Catatan itu membuatkan saya dan rakan-rakan tersepit antara lucu, geram, sedih dan terluka… semuanya untuk diteladani oleh mereka yang masih punya akal dan jiwa
.
Patung El Cid Campeador di Valencia
Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki, dan kerajaan-kerajaan Eropah hari ini yang gementar dengan kehadiran 58 juta umat Islam di Eropah, pada statistik terkini.
Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi… biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum.
Melucukan, laporan siasatan itu mengenal pasti orang Islam di Valencia enggan makan di meja, sebaliknya duduk di lantai! Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Laporan itu juga mencela orang Islam kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya. Orang Islam di Valencia juga didapati melanggar peraturan kerana memohon untuk bekerja pada hari Ahad dan Krismas!
Catatan ini telah membuktikan kepada kami bahawa walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570. Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka. Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!
Saya bangga dengan ketabahan umat Islam ketika itu. Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk, keji, jelek mengatasi binatang, pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu. Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.
Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.
Malam ini kami termenung dan menamatkan siri kuliah Islamic Civilization in al-Andalus dengan suatu luka di dalam hati yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tiada lagi Andalus… hasil kebodohan umat Islam yang berpecah belah, bersikap nifaq berkonspirasi dengan musuh untuk membunuh saudara sendiri, lantas dihukum Allah dengan kezaliman Kristian yang tiada tolok bandingnya.
Teruskan leka dan hiburanmu wahai bangsa Malaysia. Nafikan kebinasaan manusiamu dengan kebanggaanmu terhadap Sains dan bangunan konkrit dan batu, engkau sedang menjejaki kesilapan Andalus…
Malaysia Boleh!!!
p/s: nantikan peperiksaan akhir pada 6 April 2007. Allahu al-Musta’aan
ABU SAIF





Khairyn said
salam ustaz,
Saya terpana dengan keindahan kota Alhambra di Granada tapi, disebalik keindahan itu saya mempelajari sejarahnya yang merobek hati saya. Apabila pemimpinnya lemah maka satu negaranya hancur. Kerana kalah politik, rakyat turun temurun murtad. Diberikan tiga pilihan; memilih Islam lalu mati, dibuang negara atau tinggal sebagai Kristian. Sungguh sistematik sekali ‘ethnic cleansing’ yang dilakukan.
Ia mungkin terjadi lebih 500 tahun dahulu tapi sejarah tetap berulang. 1990an apa yang terjadi di Bosnia memeranjatkan dunia. Tak mustahil ia akan terus berlaku sekiranya umat Islam terus menerus tidur dan tidak peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Saya ketawa gelihati bila membaca pemimpin di Malaysia mahukan ‘Islam seperti zaman Andalus’ dahulu. Mereka tidak belajar untuk mengkaji sejarahkah?
p/s : Saya doakan semoga semuanya selamat.
saifulislam said
Assalamualaikum.
Saya sedang dalam percubaan memindahkan bahan-bahan lalu, ke rumah baru saya di sini. Moga dipermudahkan Allah
KR said
masyaallah. menarik sungguh ust dpt belajar dan mengkaji sejarah islam. kalau saja-saja, sedikit sangat kemungkinan nak mengenal sejarah se-detail itu. kalau boleh, minta ustz terus berkongsi dengan kami yg tak ade peluang belajar macam ustz ni
Atiq said
SOKONG!
zuwairiFikahItuBest said
best la kalau boleh belajar pasal subjek ni.. hurmm
wewr said
Lepas ni boleh la plak buat kuliah online, Meneladani Kejatuhan Kerajaan Andalus…
Teringin nak dengar sendiri kalam Prof Kopanski tu.
Etnic Cleansing? Bosnia, Kosova, Ambon, hatta di Palestin juga adalah satu isu yang sama. Dan yang terkini bukan etnic, tapi ASWJ pula yang cuba dicuci daripada bumi Iraq.
arrazi said
assalamualaikom
apa khabar ustaz? ana suka baca tulisan ustaz, semoga ianya juga dapat di kongsi bersama. ustaz ana nk tanya skit boleh? berkenaan dgn Tariq bin Ziyad , betul ke dia bukan orang Maghribi . sbb kebanyakkan org2 morocco kat sini menyatakan bahawa Tariq bin Ziyad nie adalah maghribi. maaf kan ana ustaz sbb baru nk tanya … sbb baru ari nie ana tergerak hati nk bukak blog ustz nie,selalunya bukak x bleh , tp kali nie Alhamdulillah…. walaupun dh byk ketinggalan tp insyaAllah sayufidunie kathran… jazakallahu khairan ustaz
Catatan Kembara Muhandis ke Barcelona, Sepanyol « Muhtar Suhaili As-Sarawaki said
[...] Namun kini, keagungan itu tinggal sejarah! Lalu persoalannya: Ke mana sirnanya jatidiri ummah? Ustaz Hasrizal Mohd Jamil telah menukilkan satu artikel menarik tentang bagaimana jatuh bangunnya Tamadun Andalusia selama 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya. Sila baca artikel tersebut di sini. [...]
Fazdi IPIS said
Bongkar sejarah dunia dan paparkan sejarah sebenar adalah satu jihad umat islam kini. Sejarah/tarikh adalah satu matapelajaran yang sering tidak diambil kisah oleh para pelajar Islam apatahlagi sejarah Islam lantaran guru-guru yang mengajar juga tidak ambil peduli persoalan sejarah ini. Jika guru buta sejarah, murid akan lupakan ummah!
Terima kasih kepada Akhi Pok Sheikh yang berusaha membongkar sejarah yang penuh dengan pemalsuan oleh pihak yang tidak senang dengan Islam.! Takbir!!! Allahu Akbar!!!
ro ya alip dhod said
Bongkar pula sejarah Islam di nusantara. Rasanya gambar berjuang dengan keris/tombak pahlawan-pahlawan dahulu perlu revisi. Pastinya ada lagi yang sangat membanggakan boleh dicerita.
shiha said
Salam…
Hanya mampu menggelengkan kepala, sedih. Ustaz yang dapat dengar/lihat secara live dari Prof. Kopanski mesti lagi best. Kami yang dapat info (berapa % dari 3-4 jam kuliah tu?) dari SI ni pun dah tumpang sedih. Adakah kita hanya menunggu masa? Ngeri bila membayangkan kekejaman pemimpin Kristian waktu itu. Dan kejamnya mereka masih wujud ke zaman kita (cerita Bosnia). Macam mana pula dengan Malaysia? Anak – anak kita?
Kak Ija said
Teruskan leka dan hiburanmu wahai bangsa Malaysia. Nafikan kebinasaan manusiamu dengan kebanggaanmu terhadap Sains dan bangunan konkrit dan batu, engkau sedang menjejaki kesilapan Andalus…
Malaysia Boleh!!!
Gigihnya orang Islam di zaman tersebut ingin menjadikan Islam sebagai cara hidup sedangkan Islam di Malaysia semakin pupus. Maaf, ter’emosi’ selepas melihat banyaknya pusat2 orang Islam bergerak dan terjojol di sana-sini
Pak Din said
Salam akhir
1. Akhi Elbariti, (Orang Parit), saya memang baru di Sifulislam ni, 15-Nov genap 3 bulan mengenalinya dan peserta-peserta perbahasannya. Saya pun baru kenal dengan Ustaz Hasrizal. Saya pun bukan tahu siapa Akhi melainkan dari penulisan, yang Akhi kata Akhi bukan Penulis tapi nak menulis. Jadi saya pun pinjam kata-kata tu kerana saya pun malas nak menulis, tetapi kerana atas dasar ‘tahu kena tulis’, saya pun tulis. Ustaz memperjuangkan mahu yang kemudian mampu menulis. Sebab tu tulisan saya agak beterabur ejaan, bahasa dan kandungannya.
2. Saya letak komen, yang Akhi tanya di http://saifulislam.com/?p=1000#comment-8764, di sini, kerana sejajar dengan minat saya. Dengan berlatar-belakangkan pendidikan UK menjadi jurutera, saya sangat minat kepada sains sedari kecil, walaupun pendedahan dan penglibatan dengan jemaah dakwah bermacam bentuk telah saya rasakan sedari kecil. Jadi sebagai jurutera, sehingga dapat kerja dengan Jabatan Telekom, tak banyak saya dapat perkatakan tentang Islam, melainkan dengar, dengar dan dengar. Hanya apabila dah bekerja saya mula mencari Islam sebenar dasi kacamata saya sendiri, dan rupa-rupanya pekara yang saya paling minati, iaitu ilmu sains adalah separuh dari Islam, dalam ertikata sains itu adalah ilmu mengkaji hukum Alam, yang sebenarnya Hukum Allah, atau carkerja Allah atau Sunnah Allah.
3. Saya melihat kejatuhan Andalusia, dan juga kejatuhan zaman kegemilangan Islam, adalah kerana ketidak-fahaman Muslim berhubung pentingnya Sunnah Allah diletakkan setaraf dengan Syariat Allah. Kedua-duanya merupakan ayat-ayat Allah, cumanya satu berbahasa manusia dan satu lagi berbahasa Alam (ghaib). Malangnya Muslim hariini, lanjutan dari kejatuahan Islam dan Andalusia, tidak mahu menyedari dan mengakui bahawa segala ketentuan Allah dalam bentuk Sunnah Allah itu, sebagai pekara yang membawa kepada keruntuhannya. Muslim telah terlalu jauh menyempang dalam memahami Qodo dan Qadar Allah.
4. Dalam masa 3 bulan ini saya telah meluahkan apa yang tersirat selama ini dari pengkaji dan penelitian persekitaran, kepada tulisan yang saya harap, menjadi bahan bacaan rujukan kefahaman saya terhadap perbezaan-perbezaan yang ada pada pemikiran saya dan pemikiran orang lain. Sudah pastinya, dengan kesuaian yang terdapat di Saifulislam dan beberapa peristiwa yang ditakdir Allah, maka dapatlah saya meluahkan setakad ini, tidak kurang 90 komen, yang purata mengandungi 10 perenggan setiap satu. Samada ia sesuai kepada arus perdana, saya sendiri lebih mementingkan kepuasan diri belajar menulis.
5. Selepas berkesempatan bertemu Ustaz buat kali kedua dan seorang lagi peminat SI, saya mengulangkaji komen-komen saya, dan saya dapati betapa lemahnya saya dalam mendisplinkan penulisan saya, terutama dalam ejaan, bahasa dan kandungannya. Saya terfikir untuk memperbaikinya, terpaksalah saya mengambil iktibar dari, sekiranya membuat kesilapan menjalankan rukun ibadah Haji, kena main Dam. Jadi kebetulan saya jumpa Online Payment Pay Pal dalam laman Ustaz. Semalam saya cuba bayar Dam pertama kali Euro 10 (entah berapa sen pun tak pasti). Saya berharap dapat menambah Dam yang perlu kerana kesalahan yang banyak.
6. Saya berterima kasih sekali lagi kepada Ustaz, dan pembaca lain, sempena 3 bulan ini, terutama idea Akhi Elbarati berhubung menulis bukan sebagai penulis (sebagaimana bukan semua Muslim itu Islam, – dulu lain, sekarang lain) dan komen Akhi kepada Ustaz Hasrizal, yang merupakan kawan sekolah, di dalam ‘Siapa saya sebenarnya?’, yang saya kira sangat transparent dan bermakna. Jangan marah ya Ustaz.
7. Akhirkata, kepentingan sains pada saya sangat tinggi, sehinggakan disamping Ilmu Tauhid yang saya gunakan untuk mengenal Allah, Ilmu Sains sangat membantu dalam menyokong pencarian Tuhan. Blog saya, yang terbena atas dorongan Ustaz Hasrizal juga adalah khusus untuk memperkatakan sains sebagai ilmu mengkaji carakerja Allah dan kesemua komen saya, saya tulis dengan memokuskan kepada sains sebagai dasar mengenal Allah. Yang memandang sains sebagai alat materialistik sepatutnya, pandang buat kali kedua dan fikir betul-betul bahawa sains juga mengajar non-materialistik matter, seumpama roh, rohani, minda, akal dan yang setara dengannya. Jangan lupa rujukan utama sains saya ialah Al Quran.
Pak Din said
Salam Ustaz
Semalam punya test PayPal KO! Harini punya nampak OK! Euro 11.
Kekejaman Kristian Eropah « MENGAPA ISLAM? said
[...] http://saifulislam.com/?p=7 [...]
R38 « Sharudin.com said
[...] Akhi Elbariti, jawapan saya di SIO [...]
zubaini husshin said
Assalamualaikum ustaz,
Boleh tak kami menjemput ustaz untuk pengisian bulanan kami berkongsi tentang sejarah Andalusia? ( Kami kat area S.Alam )
Terima kasih.