Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti

baparealiti1.jpg

Saya bukan bapa mithali.

Saya bapa realiti. Realiti yang ada buruk dan ada baiknya.

Sebab itu saya rimas apabila catatan-catatan kekeluargaan saya dibaca secara tidak realistik. Seolah-olah semuanya terlalu ideal, cantik, kemas dan mithali belaka.

“Habis, semua cerita anta berakhir dengan good ending belaka!”, kata kawan saya yang setia mendengar keluhan.

“Itulah silapnya!”, saya menjawab lesu.

Silapnya kerana beberapa peristiwa yang saya catatkan, dianggap sebagai mewakili keseluruhan hidup saya. Seolah-olah semuanya betul, mengikut skrip, tepat belaka, mithali semuanya. Semacam tiada yang negatif.

“Tentu sahaja tidak mudah untuk menulis sesuatu yang negatif, bukan?”, tanya teman saya itu lagi.

“Sebenarnya, jika kita percaya Qadha’ dan Qadar Allah, maka akhirnya tiada yang negatif kerana setiap satu kejadian, datang dengan hikmah dan pelajaran”, saya menjawab perlahan.

Asalkan kita mahu belajar.

Dan berfikiran positif.

KERENAH ANAK-ANAK

“Lelaki itu 9 rasional 1 emosi, perempuan pula 9 emosi 1 rasional”

Hari demi hari, saya semakin dapat melihat mengapa di dalam sebuah perkahwinan, suami dan isteri serta ayah dan ibu itu saling melengkapkan, andai kedua-duanya akur dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Mungkin Allah SWT mengurniakan saya dan isteri suatu kemudahan apabila anak sulung kami Muhammad Saiful Islam lahir tanpa banyak kepayahan. Saiful Islam tidak banyak ragam. Betapa mudahnya saya dan isteri menjaganya, hingga saya boleh berkhutbah Jumaat dengan lancar dengan hanya meletakkan Saiful Islam di tepi sejadah di masjid.

baparealiti2.jpg

Susahnya kami ketika itu banyak pada hal-hal yang lain. Saya ditimpa sakit hingga berbulan terlantar di rumah, kehidupan kami yang berpindah randah kerana kerja Ummu Saif yang bertukar lokasi setiap 6 bulan, dan pelbagai lagi ujian lain yang gerun untuk dikenang.

Tetapi segala kepayahan hidup itu tidak berganda dengan masalah anak yang seorang ini. Hadirnya jadi penyejuk hati dan mata.

ANAK KEDUA

Kami pulang ke Malaysia pada Julai 2004, ketika Ummu Saif sarat mengandungkan anak kedua kami.

Naurah Sabihah lahir dalam keadaan hidup kami yang tidak menentu. Semasa Ummu Saif di dalam pantang, saya berulang antara Ipoh dan Kuala Lumpur kerana bonda saya yang sakit di hospital. Saya dan Ummu Saif masih belum mendapat pekerjaan dan kami hidup berbekalkan sedikit simpanan wang yang dibawa pulang. Setiap Kuliah Maghrib yang saya isi adalah suntikan survival kami.

Berbeza dengan Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah menjadi ujian yang amat berat bagi saya.

naurah09.jpg

Entah kenapa, semenjak bayi Naurah Sabihah semacam tidak serasi dengan saya. Naurah kuat menangis. Bukan calang-calang menangis. Setakat jiran selang satu dua rumah memang mudah mendengar dengan jelas.

Di peringkat awal, tanpa sedar saya seperti menyalahkan semua orang kerana terlalu memerapkan Naurah. Sikit-sikit dukung, sikit-sikit dukung. Hingga akhirnya Naurah hampir tidak boleh diletakkan melainkan dengan tangisan.

Ketika itu, apabila Ummu Saif oncall, malam-malam yang saya lalui bersama Yop dan adik kecilnya Naurah jadi seperti ‘neraka dunia’. Naurah akan menangis sekuat hati hingga saya hilang kewarasan. Dua tahun pertama Naurah, saya hidup dalam kemurungan.

Mata merah, sakit kepala dan sering tertidur di dalam kelas juga pejabat, saya berada di dalam keadaan tertekan.

I have the feeling to run away… away and away!“, saya menghantar sms kepada abang saya ketika jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi.

Ummu Saif di hospital kerana oncall, dan Naurah terus menangis semenjak Maghrib. Bukan sekali dua tetapi hampir setiap masa khususnya apabila Ummu Saif tiada. Setelah dukung dan tepuk tidak menjadi, doa dan zikir tenggelam, akhirnya saya mengalah. Naurah, saya biarkan sahaja terus menangis dan saya menyandarkan diri ke dinding hingga terlelap membawa ke subuh.

fscn0583.jpg

Kuatnya Naurah menangis, menyebabkan saya sentiasa menolak pelawaan orang ke kenduri atau apa-apa majlis yang dihadiri orang ramai. Tangisannya bukan rengekan tetapi jeritan sekuat hati yang berlarutan sepanjang masa hingga saya pernah menangis ketika dipeluk oleh saudara mara saya yang kasihan melihat saya yang hidup tidak tentu arah ketika itu.

Mana mungkin saya mahu menyalahkan sesiapa. Ia adalah kelakuan fitrah anak-anak yang penuh warna warni. Ada putih dan ada hitamnya. Sebagai ibu bapa, saya atau sesiapa sahaja terima dengan penuh kesabaran.

Sebab itu saya berasa sangat baran apabila ada kanak-kanak yang menangis tidak tentu hala, orang sekeliling pula menjeling-jelingkan mata. Bodohkah manusia seperti itu yang tidak faham kepada kerenah kanak-kanak? Saya akui, tangisan anak-anak adalah perkara terakhir yang kita mahu dengar, tetapi lebih baik untuk kita berlapang dada, dan paling kurang pun, sekadar membatukan diri.

Saya itulah yang sering membatukan diri.

BAHAYA KEMURUNGAN

Biar pun saya berasa bahawa diri ini gagal berdepan dengan dua tahun pertama kelahiran Naurah Sabihah, saya bersyukur kerana saya terpelihara dari melakukan apa-apa yang tidak wajar. Saya tidak terkejut apabila mendengar berita ada ibu atau bapa yang ‘mencederakan’ anak semata-mata kerana tangisannya yang mengiringi keletihan badan dan fikiran selepas penat bekerja.

Sesungguhnya ketika saya berdepan dengan saat-saat yang kritikal, apa yang mengawal saya hanyalah ingatan kepada Allah secara konsisten, dan kekuatan emosi untuk mengawal diri. Masakan mahu dicubit, dipukul ditampar si anak kecil yang sedang meraung itu! Naudhubillah!

Biar pun rasional akal dan emosi perasaan seakan menjadi buta akibat tekanan jiwa, kekuatan spiritual itu jugalah yang menjadi pelampung yang menyelamatkan. Malah mungkin pada masa-masa tertentu, tindakan terbaik yang mampu dibuat ialah menjauhkan diri secara fizikal daripada si anak yang sedang meraung.

Semasa ibu baru bersalin, emosinya juga tidak menentu. Malah kemurungan selepas bersalin (Post Natal Depression – PND) boleh menyebabkan si ibu mencederakan hatta membunuh anak yang baru dilahirkannya. Mungkin ini yang diistilahkan oleh orang Melayu sebagai ‘gila meroyan’. Dalam keadaan yang seperti ini, seorang bapa amat perlu memainkan peranan untuk bersabar dan bertindak waras. Perlu sekurang-kurangnya beliau memegang si anak kecil dan menjauhkannya dari si ibu buat seketika.

Namun hal yang sama juga boleh berlaku kepada bapa, si lelaki yang 9 rasional dan 1 emosi itu. Saya bersyukur kerana Ummu Saif mengambil langkah yang sama dengan menjauhkan Naurah Sabihah daripada saya untuk beberapa ketika, semata-mata untuk membolehkan saya kembali merasionalkan diri yang tertekan.

Dua tahun itu telah berlalu, tetapi ia sulit untuk dikenang.

Akibat tekanan dan kemurungan yang menyelubungi saya sekeluarga ketika Naurah masih kecil, amat sedikit fotonya yang diambil berbanding Saiful Islam dan kini Imaduddin.

Saya bukan bapa mithali, tetapi bapa yang masih bertatih menguruskan realiti.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Advertisements

8 thoughts on “Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti

  1. It’s nice to know that u’re human too, with weakness and flaws, Ustaz. Tera dikurniakan anak yang sawan tangispun, seorang suami boleh naik barannya mendengarkan jeritan kelaparan atau kesakitan si kecil, tambahan la pula jika berada di dalam situasi spt yg ustaz ceritakan. Tika itu, hanya Allah SWT dan amalan kita yang berterusan saja yang dapat membantu merasionalkan diri seseorang. Life is sure an ongoing test

  2. sy sgt kagum dgn ustaz..bkn mdh utk mmahami krjya s’org istri as a doc…sy slh seorg pljr perubtn..reading ur story gve me mtvtn…thanks

  3. salam,
    hairan juga kadangkala ada anak yg tidak banyak karenah tapi akdangkala ada juga yang kuat menangis, mudah menangis. ada yang senang berhenti tapi ada juga yang payah nak berhenti. macam2. cuma pada pendapat saya parent yang sepatutnya banyak bersabar.baby tu nangis apa yang dia tahu, dia tak bersalah maka kita yang dewasa ni kenalah mengalah dan tabah

  4. u are good person,ustaz

  5. kehidupan yg penuh cabaran..teruskan p’juangan ustaz..

  6. alhamdulillah ustz berjaya menghadapi saat2 getir dalam kehidupan, disebalik setiap ujian dan mehnah yang ditimpakan kepada manusia itu ada hikmah dan sebab musababnya…kesabaran itu penting………

  7. this is the article that make me begin to frequent your site.my baby is the same…

  8. masaalah ini pernah saya lalui (anak menangis dimalam hari) saya tolak kat isteri,dia tolak balik . dengar kata tak boleh keluarkan anak dari waktu asar hingga waktu maghrib.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this:
search previous next tag category expand menu location phone mail time cart zoom edit close